Tuesday, 1 March 2016

~ Taqwa dan Wara' daripada Syubhah~

Al Imam Juwaini Rahimahullah, mempunyai anak yang digelar sebagai Al Imam Al Haramain.
Bapa dan anak kedua2nya merupakan ulama agung dan masyhur di dalam Mazhab Al Imam Al Asy Syafiee.
Suatu ketika, sewaktu al Imam Haramain masih lagi kecil. Dan ayahanda beliau keluar untuk mengajar.
Maka beliau ditinggalkan bersama khadam beliau.
Lalu datang wakil istana menghantar sebotol susu yang dihadiahkan oleh Raja kepada ayahanda beliau.
Maka sewaktu ketiadaan ayahanda beliau, maka al imam haramain yang masih kecil pun menangis kerana lapar.
Akhirnya si khadam mengambil sedikit susu yang dihadiahkan untuk memberi minum kepada Imam haramain.
Lalu, apabila Al Imam Juwaini pulang kerumah, maka beliau terlihat susu tersebut dan bertanya kepada khadamnya,
"Siapakah yang memberi susu ini?"
Jawab khadam,
"Susu ini hadiah dari istana wahai Imam,"
Imam juwaini bertanya lagi,
" Tidak mungkin istana hanya memberi susu separuh botol ini sahaja, mana lagi bakinya?"
Jawab khadam,
"Oh, tadi anakmu menangis, maka aku berikan sedikit kepadanya untuk diminum.."
Berubah wajah imam juwaini kemerahan menahan marah,
Lalu berkata,
" kamu beri anakku minum susu ini??"
jawab khadam,
" Benar wahai Imam,"
Terus imam Juwaini meluru masuk ke dalam bilik mendapatkan anaknya yang masih kecil, dan memasukkan jari ke dalam mulut anaknya bertujuan untuk membuat anaknya muntah."
Setelah anaknya besar, al imam haramain bercakap dalam keadaan sedikit gagap dan pelat.
Maka imam juwaini berkata kepadanya,
"Wahai anakku, jika sekiranya kamu tergagap dan pelat sewaktu bercakap,
maka tepuklah pahamu dan katakan "ini adalah sebab laban(susu) yang aku minum sewaktu kecil dahulu".
Lihatlah bagaimana wara'nya para ulama silam dalam menjaga hati, rohani serta akhlak mereka, kerana mereka mengetahui daripada makananlah antara sebab dan penentu sikap serta diri seseorang. Walhal susu itu halal untuk diminum, namun begitu kerana wara' dan takut mereka kepada Allah, khuatir syubhah yang terdapat dalam susu tersebut maka mereka tinggalkan.
Itupun sudah cukup menyebabkan mereka menerima kesan daripada meminum susu tersebut walaupun tanpa sedar.
Wahai ummat Islam, hari ini apakah kita melihat daripada mana sumber makan dan minum kita ?
Apakah bahan yang ada dalam makanan kita ?
Apakah Halal atau sebaliknya ?
Syubhah ataupun tidak ?
Apabila dibincang dan difikir mengapa berlakunya keruntuhan akhlak, serta moral ummat yang berleluasa pada hari ini.
Kadang-kadang timbul dibenak fikiran kita yang masih belajar,
" Kenapa susah sangat aku nak faham ilmu?"
"Kenapa susah sangat aku nak hafal Al Quran dan Hadith?"
Maka jawapannya, lihatlah apa yang telah masuk ke dalam tubuh kita,
Lihat apa yang telah menjadi darah daging kita.
Kita memohon kepada Allah Taala agar dijaga hati dan rohani kita daripada dimasuki oleh perkara2 yang haram dan syubhah kerana kesannya akan turut dirasai oleh generasi seterusnya.
~al Faqir ilAllah al Mu'in
Muhammad Hafiz Ibn Azman Ad Darqawi

No comments:

Post a Comment