Assalamu'alaikum Dr Asri Zainal Abidin (Mufti Perlis), di Negeri Johor tak pernah mengajar sebagaimana si fulan yang saudara sebutkan. Adakah ia berbentuk sinis atau sindiran untuk menghina sistem pendidikan Negeri Johor ?
Sekiranya mengikut sistem pendidikan agama (yang diarahkan penubuhannya oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sejak 1895) dari awal hingga Darjah Khas pastinya mereka yang belajar akan tahu haram bersalaman dengan sesama yang bukan mahram. Bukan itu sahaja, bahkan subjek-subjek yang kebanyakannya diperolehi di sekolah menengah turut diajar seperti Aqidah, Pendidikan al Quran, Ibadah, Sirah, Munakahat, Muamalat, Jenayat, Tasawwuf/Akhlaq, Faraid, Bahasa Arab dan sebagainya.
Alhamdulillah, sistem pendidikan Agama Negeri Johor telah melahirkan ramai bijak pandai, dicontohi di Negara Brunei, dan ada juga Mufti negeri lain yang pernah mengikuti sistem pendidikan agama negeri ini.
Warta Kerajaan Johor bulan Februari 2013 sudah jelas menyatakan umat Islam di Negeri Johor dalam aqidah mengikut Asya'iroh, dalam syariat mengikut mazhab Asy Syaf'ie dan berakhlaq dengan akhlaq Islamiah.
Penjelasan mengenai zakat fitrah bayar guna matawang ada perbahasannya dan dijelaskan dalam mazhab Asy Syafie :
Di dalam kitab Mustika Hadits, Jilid Ketiga terbitan JAKIM, dinyatakan: Tersebut di dalam kitab al-Itsaarah (الايثارة), karangan Shohibul Fadhilah Dato’ Haji Mahmud Ghazali bin ‘Abdullah, Mantan Mufti Negeri Selangor [menjadi mufti sekitar tahun 1968 – 1973, beliau kemudiannya kembali ke Perak dan menjadi Mufti Perak dari tahun 1977 - 1981], terbitan Majlis Agama Islam Selangor:
Berdasarkan hadits yang lalu, zakat fitrah WAJIB dikeluarkan dari jenis makanan utama [asasi] penduduk sesebuah negeri, dan ini menjadi pegangan dalam mazhab Syafie (kecuali adanya dharurat, atau diperintahkan oleh pihak yang berkuasa, maka diHARUSkan membayarnya dengan wang sebagai ganti makanan – beras), seperti yang sedang di’amalkan oleh jabatan-jabatan agama Islam di Malaysia, kerana memudahkan urusan pemungutan zakat fitrah dan pembahagiannya [pengagihannya]. Masalah ini dihuraikan di dalam kitab al-Itsaarah [Al-Ithaarah Pada Huraian Hukum-hukum Zakat dan Fitrah] seperti berikut:
Berfitrah dengan wang:
(a) Membayar fitrah dengan wang adalah TIDAK SAH mengikut MAZHAB SYAFIE jika diniatkan wang menjadi zakat fitrah seperti diniatkan “Wang ini fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku”. Tetapi HARUS digantikan makanan dengan wang dan hendaklah diniatkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan (orang-orang) tanggunganku – pada tahun ini".
(b) Berfitrah dengan wang sebagai ganti beras (makanan) adalah HARUS dalam mazhab Syafie tetapi LEBIH AFDHAL dengan makanan. Di dalam mazhab Hanafi pula lebih afdhal dengan harga daripada makanan.
Didalam mazhab kita Syafie yang mengharuskan ialah;
1. Kerana dharurat
2. Kerana diperintahkan oleh raja (pemerintah) [menurut kitab al-Itharah, bahwa keterangan mazhab Syafie tersebut ada dinyatakan dalam kitab Majmu’ Syarah al-Muhazzab 5/431 dan keterangan mengenai mazhab Hanafi yang mengatakan: Tiap-tiap benda yang harus disedekahkan maka haruslah dikeluarkan menjadi bayaran ganti zakat – ada disebutkan dalam kitab al-Majmu’ (5:429). Dalam kitab al-Itharah juga ada menyebutkan keterangan kitab al-Majmu’ (5:429) bahawa dalil pihak yang mengharuskan zakat fitrah dengan harganya ialah hadits yang disebut oleh Imam Bukhari رحمه الله dengan tegas sebagai ulasan, bahawa Sayyidina Muadz رضي الله عنه, semasa diutuskan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ke negeri Yaman sebagai pemungut zakat, ia telah meminta mereka membayar zakat dengan kain keluaran negeri itu sebagai ganti gandum (kerana cara yang demikian katanya bukan sahaja memberi kemudahan kepada pembayar-pembayar zakat bahkan orang-orang miskin yang berhak menerima zakat di Madinah juga memerlukan pakaian].
Untuk pengetahuan saudara, Jabatan Pendidikan (Sektor Pendidikan Islam) Perlis juga pernah datang melawat Sekolah Agama Kerajaan Johor untuk meniru sistem pengurusan Sekolah Agama Kerajaan Johor di bawah arahan Raja Perlis.
Eloklah sekiranya saudara tumpukan permasalahan di Negeri Perlis, ada imam yang dipecat kerana berzikir berjemaah selepas solat yang ada nasnya dalam al Quran dan Hadith serta amalan salafussoleh perlukan pembelaan.
Begitu juga perbaiki dahulu akhlaq saudara kepada alim ulamak yang pernah difitnah, sistem pondok yang ditohmah, mengkafirkan amalan ulamak dan umat Islam, membuat tuduhan bohong terhadap asatizah di Singapura, institusi mufti dan sebagainya. Tak muat kebatilan yang dibuat oleh saudara untuk diceritakan walaupun pernah ditegur oleh ramai ilmuwan Islam Malaysia.
Wallahua'lam bissowab.
No comments:
Post a Comment